Ahad, 5 Februari 2012

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan - Pantun Empat Kerat : Adat & Etika (Puisi Tradisional)

Pantun Empat Kerat - Adat dan Etika


Tema

Pantun ini bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan adat dan etika hidup. Untuk mencapai keadaan kehidupan yang baik, manusia perlu mengikut aturan hidup yang ditetapkan dan diterima umum oleh ahli masyarakat sebagai sebahagian peraturan, adat, dan etika kehidupan

Persoalan dan Maksud

Persoalan pantun ini berkaitan dengan adat dan etika hidup manusia dalam masyarakat.

Rangkap 1
Persoalan mengenai pentingnya manusia menjaga nilai kesopanan dan gaya percakapan. Maksudnya, cara berbahasa seseorang mencerminkan nilai dirinya. Seseorang yang bercakap dengan sopan santun dianggap sebagai berbudi bahasa.

Rangkap 2
Persoalan mengenai pentingnya manusia menjaga perlakuan diri. Maksudnya, tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.

Rangkap 3
Persoalan mengenai masyarakat Melayu tradisional menyambut tetamu, iaitu dengan membentangkan tikar(baru) dan membuka pintu rumah. Maksudnya, bagi orang Melayu, mereka mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah dengan cara membentangkan tikar baru untuk alas duduk tetamu dan membukakan pintu rumah serta menjemput tetamu masuk. Lambang memuliakan tetamu.

Rangkap 4
Persoalan mengenai perasaan dan kehidupan orang merantau atau anak dagang yang akhirnya akan pulang juga ke tempat asal. Maksudnya, walau ke mana dan selama mana pun anak dagang merantau(untuk mencari rezeki, mendapatkan seseuatu), akhirnya akan kembali juga ke tempat asal. Lambang tidak melupakan asal usul.

Nilai dan Pengajaran

Nilai
  • Pentingnya manusia menjaga nilai kesopanan semasa berbahasa dan bercakap. Apabila bercakap dengan seseorang, sentiasalah bersopan santun dan berbudi bahasa supaya dipandang mulia.
  • Pentingnya seseorang menjaga perlakuan diri. Seseorang prelu menjaga tingkah lakunya kerana hal itu mencerminkan maruah dirinya.
  • Menghormati dan memuliakan tetamu. Sebagai orang Melayu yang mementingkan adat, tetamu yang datang ke rumah sentiasa dihormati dan dimuliakan oleh mereka.
  • Tidak melupai asal usul keturunan atau kampung halaman. Sebagai orang dagang yang selalu merantau mencari rezeki di tempat orang, walau ke mana dan selama mana pun dia pergi, sampai masa akan kembali juga ke tempat asalnya.

Pengajaran
  • Kita hendaklah sentiasa bercakap dengan sopan santun kerana komunikasi santun dianngap sebagai berbudi bahasa dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
  • Kita perlu sentiasa menjaga tingkah laku kerana tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.
  • Sebagai orang Melayu yang beradat, kita seharusnya mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah dengan menghormati dan memuliakan mereka setiap waktu.
  • Janganlah kita lupa asal usul keturunan dan kampung halaman. Sebagai anak dagang, walau ke mana atau selama mana pun kita merantau, jangan lupa kembali menjengah ke tempat asal

Maksud Rangkai Kata Terpilih
  1. Madat - candu(opium), segala jenis dadah yang mengkhayalkan.
  2. Deli, Makasar - tempat di Sulawesi Selatan, Indonesia.
  3. Putat - (Barringtonia conoidea) - pokok ulam, pucuk warna merah, rasanya lemak-pahit.
  4. Batu kecubung - batu permata berwarna ungu/kebiruan
  5. Daun sirih - tumbuhan melata, daunnya dikunyah sebagai pembasuh mulut.
  6. Gambir dan kapur - bahan yang dicampur untuk ramuan sirih, rasanya panas pedas.
  7. Semang - suku orang Asli yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Pagan(Pahang dan Kelantan), tinggal di dusun, hutan.
  8. Adat semang pulang ke dusun, adat belut pulang ke lumpur(peribahasa) - biasanya perantau akan balik ke tempat asal/kampung halaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan