Selasa, 7 Februari 2012

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan - Seloka Sifat Pak Pandir (Prosa Tradisional)

Seloka Sifat Pak Pandir


Maksud Keseluruhan
Seloka ini menggambarkan sifat Pak Pandir. Pak Pandir seorang yang mudah percaya dan mudah terpedaya oleh pandangan mata. Bagi Pak Pandir, apabila melihat orang yang berpakaian kemas dan menarik, dia menganggap orang itu tentulah orang kaya. Apabila melihat seseuatu batu yang berkilat, dia percaya itu ialah intan berlian. Apabila terjumpa dengan batu buntat (batu hempedu dalam tumbuhan) dia percaya batu berkenaan ada kuasa luar biasa dan memberikan tuah. Apabila bertemu dengan seseuatu yang berbungkal, dia percaya benda itu ialah emas. Sifat tidak berfikir dengan teliti dan mudah mempercayai orang lain menyebabkan dirinya mudah ditipu oleh orang. Akibatnya, dia sering mendapat kesusahan dan kerugian kerana kebebalannya sendiri. Dia sering menyesal, namun tiada sesiapa yang peduli.

Tema
"Seloka Sifat Pak Pandir" mengetengahkan tema kemanusiaan dan kemasyarakatan yang menghuraikan sikap manusia yang mudah percaya kepada apa yang dilihat (kecantikan luaran). Akibatnya, manusia seperti Pak Pandir ini mudah diperdaya dan tertipu kerana kurang berhati-hati dalam berfikir dan bertindak.Keadaan ini menyebabkan mereka sering kerugian dan kesusahan.

Persoalan

  1. Mudah percaya pada penglihatan luaran (mata), sering kali tertipu atau terpedaya.
  2. Kesusahan atau kesukaran biasanya berpunca daripada diri sendiri.
  3. Menyesal apabila sudah gagal dan susah. Tetapi, biasanya sudah terlambat, sesal tidak berguna lagi.


Nilai dan Pengajaran
Nilai

  1. Kepercayan terhadap pandangan mata.Pak Pandir sering mendapat kesusahan atau kerugian keran sikapnya mudah terpesona dengan apa-apa yang dilihat menyebabkannya tertipu dan terpedaya.
  2. Berfikir sebelum melakukan sesuatu. Seseorang perlu berfikir dengan wara dan bijaksana agar tidak melakukan perbuatan yang bebal dan akhirnya menyusahkan serta merugikan diri sendiri seperti yang trjadi kepada Pak Pandir.


Pengajaran

  1. Kita hendaklah berhati-hati, jangan terpedaya dengan apa-apa yang dilihat. Sikap mempercayai pandangan mata dan menilai secra luaran akan menyebabkan kita mudah tertipu dan terpedaya.
  2. Berfikir dan bertindaklah dengan waras dan bijaksana agar kita tidak melakukan perbuatan yang akhirnya menyusahkan serta merugikan diri sendiri,
  3. Kita perlulah melaksanakan sesuatu dengan perancangan yang rapi dan mempertimbangkan kesan-kesannya kerana apabila sudah gagal, tiada guna kita menyesal.

Maksud Rangkai Kata Terpilih

  1. Intan,emas - batu dan logam barangan kemas, perhiasan wanita yang tinggi nilainya.
  2. Buntat - batu yang terdapat dalam tumbuh-tumbahan, dipercayai mempunyai khasiat dan kuasa luar biasa.
  3. Berbungkal - bongkah,gumpal
  4. Susah buatan sendiri - mendapat kesusahan kerana kesilapan sendiri.

Isnin, 6 Februari 2012

Antologi Seuntai Kasih Secebis Kasih - Gurindam Dua Belas : Fasal yang Kesembilan (Puisi Tradisional)

Gurindam Dua Belas - Fasal Kesembilan


Maksud Keseluruhun
Gurindam ini menjelaskan peringatan tentang bagaiman tipu helah syaitan menggoda golongan-golongan manusia yang lalai dalam agama dan lalai meningati Tuhan. Walaupun sedar bahawa ia sentiasa berbuat jahat, tetapi masih terus melakukannya. Dia anggap bukan manusia, tetapi syaitan atau kawan syaitan.
      Golongan pertama ialah perempuan yang telah dewasa (ibu atau nenek), tetapi masih melakukan hal-hal yang tidak elok, tidak boleh dicontohi. Mereka dianngap menjadi ketua(penggawa) kepada iblis dan syaitan.
      Golongan kedua ialah orang-orang yang kurang berkemampuan (hamba raja, pekerja bawahan, orang miskin). Mereka ini sentiasa terdesak untuk memenuhi tuntuntan keperluan hidup sendiri. Oleh itu, syaitan mudah menggoda mereka agar menggunakan kelebihan mereka yang selalu dekat dengan orang berkuasa (raja,  majikan) bagi menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri.
      Golongan ketiga ialah orang-orang muda yang hanyut dalam keseronokan dunia muda-mudi. Mereka akan digoda oleh syaitan agar terus lalai dalam agama dan lalai meningati Allah. Syaitan menggoda agar mereka berpanjangan melakukan maksiat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri.
      Golongan keempat ialah golongan manusia yang suka pada pesta, terutama hiburan yang menghimpunkan lelaki dan perempuan. Inilah peluang terbuka syaitan untuk menggoda mereka agar melakukan maksiat (misalnya zina) yang dilaknat oleh Allah dan mereka akan menjadi saudara syaitan di neraka.
       Sebaliknya, ada beberapa golongan manusia yang tidak disukai oleh syaitan. Antaranya, orang tua yang berjimat cermat dan bersederhana dalam perbelanjaan dan gaya hidupnya. Juga orang muda yang tidak putus-putus menuntut ilmu yang berguna di dunia dan akhirat. Orang seperti ini sukar digoda untuk berbuat kejahatan keran mereka mengetahui pelbagai perkara yang menjadi tipu helah syaitan untuk menyesatkan manusia.

Maksud Rangkap Demi Rangkap


Rangkap 1
Orang yang sedar bahawa ia berbuat pekerjaan yang tidak elok(jahat), teatapi masih terus melakukannya dengan sengaja, maka ia dianggap bukan manusia tetapi syaitan yang berupa manusia.

Rangkap 2
Seorang perempuan yang telah dewasa, tetapi masih melakukan hal-hal yang tidak elok dianggap menjadi ketau(penggawa) kepada iblis dan syaitan.

Rangkap 3
Syaitan suka menggoda orang-orang yang kurang berkemampuan (hamba raja, pekerja bawahan, orang miskin) untuk menggunakan kelebihan mereka yang selalu dekat dengan orang berkuasa (raja, majikan) bagi menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri, tetapi merosakkan orang lain. Sifat ini disukai oleh syaitan.

Rangkap 4
Syaitan suka mempergunakan orang-orang muda yang lalai dalam agama (lalai meningati Allah, Tuhan) agar melakukan maksiat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri. Mereka akan kekal menjadi sahabat syaitan selama tidak bertaubat nasuha.

Rangkap 5
Syaitan menyukai pesta, perhimpunan yang disertai oleh lelaki dan perempuan kerana boleh menggoda mereka untuk melakukan maksiat (misalnya zina) yang memusnahkan hidup mereka, dilaknat Allah, dan akhirnya kekal sebagai saudara syaitan di neraka.

Rangkap 6
Syaitan tidak menyukai orang tua yang berjimat cermat dan bersederhana dalam perbelanjaan dan gaya hidupnya. Ini kerana sifat boros dan membazir adalah amalan kegemaran syaitan.

Rangkap 7
Syaitan juga tidak suka kepada orang muda yang menghabiskan sebahagian besar umur mudanya untuk menuntut ilmu yang berguna di dunia dan di akhirat. Orang seperti ini sukar digoda untuk berbuat kejahatan kerana mereka mengetahui pelbagai perkara yang menjadi tipu helah syaitan untuk menyesatkan manusia.

Tema
"Gurindam Dua Belas - Fasal Kesembilan", karya Raja Ali Haji ini bertemakan nasihat dan pengajaran. Gurindam ini menjelaskan peringatan tentang bagaimana tipu helah syaitan menggoda golongan-golongan manusia yang lalai untuk mengingati Tuhan.

Persoalan

  1. Sikap orang yang bebal, terus berbuat tidak elok walaupun diberi peringatan.Orang seperti ini dianngap bukan manusia, tetapi syaitan yang berupa manusia.
  2. Perempuan yang banyak melakukan dosa.Perempuan berusia lanjut, tetapi masih melakukan hal-hal yang keji dianngap menjadi ketua kepada iblis dan syaitan.
  3. Syaitan suka menggoda orang yang kurang berkemampuan. Orang yang kurang berkemampuan (miskin) dan kurang pelajaran atau didikan agama mudah digoda untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri.
  4. Syaitan suka mempergunakan orang-orang muda yang lalai dalam agama. Orang muda yang lalai untuk mengingati Allah digoda untuk melakukan maksiat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri.
  5. Syaitan menyukai pesta atau perhimpunan yang disertai oleh lelaki dan perempuan. Di tempat ini, syaitan boleh menggoda mereka untuk melakukan maksiat (misalnya zina) yang memusnahkan hidup mereka, dilaknat Allah, dan akhirnya kekal sebagi saudara syaitan di neraka.
  6. Syaitan tidak meyukai sikap orang tua yang berjimat cermat. Ini kerana sifat boros dan membazir ialah amalan kegemaran syaitan.
  7. Syaitan tidak suka pada orang muda yang berilmu.Orang seperti ini sukar digoda untuk berbuat kejahatan kerana mereka mengetahui pelbagai perkara yang menjadi tipu helah syaitan untuk menyesatkan mereka.


Nilai dan Pengajaran


Nilai

  1. Berjimat cermat. Amalan berjimat cermat dan bersederhana dalam kehidupan sangat dituntut demi menjamin kebahagian hidup pada masa hadapan.
  2. Orang muda yang berilmu. Semasa muda, seseorang wajar menuntut ilmu dunia dan akhirat sebanyak mungkin sebagai bekalan pada masa hadapan.


Pengajaran

  1. Kita jangan bersikap bebal. Setelah diberi peringatan, sebaiknya kita berhenti melakukan perbuatan buruk kerana akan merosakkan diri.
  2. Sebagai wanita, kita perlulah berhati-hati terhadap godaan syaitan keranasyaitan suka menggoda perempuan yang lemah iman, terutama wanita tua yang lanjut usia, tetapi masih mengamalkan perbuatan yang tidak elok.
  3. Orang kurang berkemampuan (miskin) perlulah berhati-hati kerana mereka terdedah kepada godaan syaitan akibat kurang pelajaran atau didikan agama. Mereka mudah digoda untuk menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri.
  4. Orang muda janganlah lalai daripada meningati Allah kerana syaitan selalu menggoda mereka untuk melakukan maksiat yang akhirnya merosakkan diri mereka sendiri.
  5. Kita hendaklah mengelak daripada menghadiri pesta yang wujud percampuran antara lelaki dan perempuan. Syaitan akan menggoda mereka yang berpesta ini untuk melakukan maksiat yang memusnahkan hidup mereka, dilaknat Allah, dan akhirnya kekal sebagai saudara syaitan di neraka..
  6. Kita hendaklah mengamalkan sikap berjimta cermat dan bersederhana dalam kehidupan kerana sikap boros dan membazir ialah amalan kegemaran syaitan.
  7. Sebagai orang muda, tuntutlah ilmu dunia dan akhirat sebanyak yang mungkin kerana hanya dengan ilmu kita sukar digoda untuk berbuat kejahatan disebabkan mengetahui pelbagai perkara yang menjadi tipu helah syaitan untuk menyesatkan manusia.


Maksud Rangkai Kata Terpilih



  1. Iblis punya penggawa - berketuakan iblis
  2. Syaitan tempatnya manja - syaitan suka menggoda hamba-hamba raja
  3. Syaitan tempat berkuda - syaitan menjadikan orang muda yang lalai sebagai kuda tunggangan.
  4. Syaitan punya jamuan - syaitan menjadikan pesta muda-mudi sebagai pesta kesukaannya.
  5. Orang tua yang hemat - orang tua yang berjimat cermat.
  6. Orang muda kuat berguru - orang muda yang suka menuntut ilmu.
  7. Syaitan jadi berseteru - dimusuhi oleh syaitan, tidak disukai oleh syaitan.

Ahad, 5 Februari 2012

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan - Syair Si Burung Nuri Satu (Puisi Tradisional

Syair Si Burung Nuri Satu


Maksud Keseluruhan
"Syair Si Burung Nuri Satu" ialah sebahagian petikan cerita (fragmen) daripada teks "Sayir Si Burung Nuri", sebuah syair yang berbentuk cerita (naratif). Tergolong dalam jenis cerita unggas (binatang) yang bersifat alogari (perbandingan,kiasan). Meskipun cerita tentang unggas atau binatang, cerita ini boleh dibawa dalam konteks kehidupan, sikap, dan sifat manusia.
        Fragmen ini memaparkan kisah tentang seekor burung Nuri yang pandai berkata-kata. Kononnya, burung Nuri tersebut tinggal di Gunung Puteri dan berasal dari kayangan. Nuri sangat cantik; tubuh badannya berbau wangi, rupanya menarik, tutr katanya sopan, akal pemikirannya bijak, cahaya wajahnya bersinar, bulunya bersih bersinar, kukunya putih bersih, jari-jarinya cantik berbagai-bagai warna, dan tiada tandingan mana-mana raja di istana. Oleh sebab kecantikan dan budi bahasa yang baik, burung Nuri diangkat menjadi Penghulu atau Raja di udara(kayangan). Semua burung tunduk hormat dan mematuhi segala hukum-hakam yang dilaksanakan olehnya.
         Dikisahkan, pada suatu hari ketika Nuri berada di atas takhta, Nuri mengadu kepada Burung Punai bahawa badannya berasa tidak sedap. Nuri lalu masuk beradu.Semasa tidur, Nuri bermimpi bertemu dengan Bunga Cempaka Dadu yang sangat cantik. Nuri terkejut dan terjaga. Bayangan Cempaka Dadu yang hadir dalam mimpinya menimbulkan rasa asyik berahi dan rindu di hati Nuri dan menggangu fikirannya. Burung Nuri kemudian bertitah kepada Si Burung Murai agar memanggil semua burung datang berkumpul di istana dengan segera. Murai berasa hairan dan bimbang memikirkan sebabnya Nuri bersikap demikian, iaitu tujuan semua burung diarah berkumpul dengan segera. Murai berasa hairan dan bimbang memikirkan sebabnya Nuri bersikap demikian, iaitu tujuan semua burung diarah berkumpul dengan segera. Setelah Murai bertemu dengan semua burung, Murai pun menjelaskan bahawa Nuri menitahkan semua burung berkumpul di istana dengan segera kerana ada perkara atau tugas penting hendak dikhabar atau dilaksanankan.

Maksud Rangkap Demi Rangkap

Rangkap 1
Ada satu cerita yang asyik dan menghairankan, dikisahkan orang, ada burung Nuri yang boleh berkata-kata, pandai bercakap.

Rangkap 2
Kononnya, burung Nuri tersebut tinggal di Gunung Puteri, berasal dari kayangan (udara). Tubuh badannya berbau sangat wangi, tiada tandingan pada zamannya.

Rangkap 3
Rupanya sangat cantik, tutur katanya sangat sopan, pemikirannya(akal) sangat bijak, tiada tandingan mana-mana raja di istana.

Rangkap 4
Kerana kecantikan dan budi bahasa yang sangat baik, burung Nuri diangkat menjadi Penghulu kayangan.

Rangkap 5
Burung Nuri mempunyai cahaya wajah yang berseri-seri, bersinar, lemah lembut, dan sopan santun tutur katanya. Semua burung tunduk hormat dan mematuhi segala hukum-hakam yang dilaksanakan olehnya.

Rangkap 6
Matanya bersinar seperti permata manikam, bulunya bersih bersinar seperti permata zamrud, kukunya putih bersih seperti mutiara, dan jari-jarinya cantik berbagai-bagai warna.

Rangkap 7
Adalah dikisahkan, pada suatu hari ketika Nuri berada di atas takhta, ia mengadu kepada burung Punai bahawa badannya berasa tidak sihat.

Rangkap 8
Nuri lalu masuk beradu sambil dijaga oleh burung Beladu. Semasa tidur, Nuri bermimpi bertemu dengan bunga Cempaka Dadu yang sangat cantik. Nuri pun terkejut. Bayangan Cempaka Dadu yang hadir dalam mimpinya menimbulkan rasa asyik berahi dan rindu di hati Nuri.

Rangkap 9
Setelah terkejut jaga, Nuri cuba pejamkan mata untuk kembali menyambung tidurnya. Namun, bayangan Cempaka Dadu mengganggu fikirannya. Oleh sebab terlalu memaksa memejamkan mata, sedangkan fikiran terganggu, Nuri berasa badannya sangat letih, apatah lagi memikirkan maksud tadbir mimpinya tadi.

Rangkap 10
Setelah Nuri bangun dari tidurnya, Si Burung Beladu yang menunggu Nuri beradu terkejut melihat mata Nuri bengkak seperti seseorang yang sedang memikirkan suatu hajat yang tidak kesampaian. Si Burung Beladu bertanya kepada Nuri, apa sebabnya. Tetapi, Nuri diam, tidak menghiraukan pertanyaan Si Burung Beladu.

Rangkap 11
Menyedari hal itu, burung Beladu faham bahawa Nuri sedang susah hati, mungkin memikirkan suatu hajat berat yang sukar didapati. Maka, Si Burung Beladu pun diam, tidak lagi melanjutkan pertanyaannnya.

Rangkap 12
Burung Nuri kemudian keluar seorang diri menuju singgahsana. Burung Nuri kemudian bertitah kepada Si Burung Murai agar memanggil semua burung datang berkumpul di istana dengan segera.

Rangkap 13
Setelah Murai mendapat titah, Murai segera terbang mencari semua burung. Murai berasa hairan dan bimbang memikirkan sebabnya Nuri bersikap demikian. Apakah tujuan semua burung diarah berkumpul segera?

Rangkap 14
Setelah Murai bertemu dengan semua burung, Murai pun menjelaskan bahawa Nuri menitahkan semua burung berkumpul di istan dengan segera kerana ada perkara atau tugas penting hendak dikhabar atau dilaksanankan.

Tema

Syair ini memaparkan tema percintaan; rasa kasih dan cinta Si Burung Nuri terhadap bunga Cempaka Dadu. Meskipun bunga Cempaka Dadu hanya hadir dalam mimpi, tetapi kehadirannya telah menyebabkan perasaan Si Burung Nuri tidak menentu, menyebabakan fikiran dan kesihatannya terganggu. Si Burung Nuri berhasrat untuk mencari Cempaka Dadu (kekasihnya) sampai bertemu.

Persoalan

  1. Raja ialah manusia istimewa yang cantik, sopan santun, bijak, gagah, dan berkuasa.Si Burung Nuri dianngap sebagai raja segala burung kerana keistimewaannya yang cantik, bijak, dan gagah selain tinggal di kayangan (udara).
  2. Rakyat menunjukkan taat setia, hormat, dan melaksanakan semua perintah Raja dengan baik. Raja berkuasa untuk memerintah hambanya.
  3. Cinta adalah sesuatu misteri dan luar biasa. Si Burung Nuri asyik memikirkan Si Bunga Cempaka Dadu hanya kerana melihatnya dalam mimpi saja.
  4. Cinta luar biasa antara seekor burung (Si Burung Nuri) dengan sekuntum bunga (Bunga Cempaka Dadu).
  5. Perasaan cinta yang mendalam menyebabkan fikiran tidak rasional, kesihatan terjejas, tingkah laku tidak terkawal, sedih, murung, resah, dan gelisah. Fikiran dan kesihatan Si Burung Nuri terjejas diganggu oleh rasa cinta kepada Si Cempaka Dadu.
  6. Rakyat jelata turut berasa sedih dan bimbang apabila raja mereka menghadapi kesusahan atau kesedihan. Semua burung sedih apabila Si Burung Nuri sedih.

Nilai dan Pengajaran

Nilai

  1. Raja mempunyai sifat luar biasa. Seorang raja ialah ketua yang dikagumi. Oleh itu, raja perlu mempunyai sifat yang luar biasa. Contohnya, Si Burung Nuri ialah raja yang luar biasa, cantik, dan bijaksana.
  2. Raja memerintah dengan adil dan bijak. Raja perlu memerintah dengan adil dan bijak. Contohnya, Si Burung Nuri memerintah rakyat dengan adil dan bijaksana.
  3. Rakyat taat kepada Raja. Rakyat jelata menunjukkan taat setia dengan mematuhi segala arahan raja. Contohnya, segera melaksanankan tugas dengan amanah.
  4. Simpati dan tolong-menolong. Seseorang perlu menunjukkan rasa simpati dan menolong orang dalam kesedihan. Contohnya, sekalian burung bersimpati dan menolong Si Burung Nuri yang bersedih.
  5. Cinta yang mendalam terhadap kekasih. Si Burung Nuri sangat mencintai kekasihnya, Si Bunga Cempaka Dadu sehingga sanggup mengembara ke luar istana untuk mencarinya.

Pengajaran

  1. Seseorang yang hendak diangkat menjadi raja haruslah mempunyai sifat yang baik (luar biasa) dari aspek kecantikan, budi bahasa, tutur kata, tingkah laku, kecerdikan, dan kekuatannya. Contohnya, Si Burung Nuri ialah raja yang cantik, bijak, dan berkuasa.
  2. Raja hendaklah memerintah rakyat dengan baik, sopan, adil, dan bijak serta menjadi contoh teladan untuk diikuti oleh rakyat jelata. Contohnya, Si Burung Nuri yang menjadi teladan kepada rakyat kerana mempunyai pekerti yang baik.
  3. Rakyat jelata hendaklah menunjukkan taat setia dengan mematuhi segala arahan (yang baik) yang disampaikan raja, serta segera melaksanakan tugas dengan amanah. Contohnya, rakyat segera berhimpun apabila diarahkan kerana raja hendak memberikan tugas penting.
  4. Kita perlu menunjukkan rasa simpati dan segera menolong orang yang dalam kesusahan atau kesedihan. Contohnya, rakyat simpati dan segera menolong raja yang sedih dan menghadapi kesusahan.
  5. Janganlah terlalu mengikut perasaan hati apabila jatuh cinta (kasih) kerana kelak akan menjejaskan kesihatan dan menganggu fikiran. Contohnya, Si Burung Nuri terlalu sedih kerana perasaan asyik mahsyuknya terhadap Si Bunga Cempaka Dadu, menyebabkan fikiran dan kesihatannya terjejas.
  6. Janglah kita terlalu mengharapkan sesuatu yang tak pasti kerana kelak akan merana diri. Contohnya, Si Burung Nuri yang jatuh cinta kepada Cempaka Dadu yang tidak pasti kewujudannya (hanya ditemui dalam mimpi) menyebabkan Nuri merana.

Maksud Rangkai Kata Terpilih

  • Suatu cerita - ada satu kisah
  • Di dalam cita - yang menyentuh perasaan.
  • Mendengar warta - khabar, tentang
  • Tahu berkata - (burung Nuri) yang pandai berkata-kata
  • Dari udara kono asal mulanya - berasal dari kayangan.
  • Dilihat manikam kedua matanya - mata yang bersinar seperti permata, lambang kecerdasan dan kepintaran pemerintah.
  • Seperti jamrut konon bulunya - jamrut (zamrut) bulu yang indah dan bersinar, lambang ketinggian darjat.
  • Laksana mutiara akan kukunya - kuku yang indah dan bersinar, lambang kuasa.
  • Pusparagam warna jarinya - jari-jemari yang indah pelbagai warna, lambang kekuatan.
  • Tidur masyghul di dalam cita - tidur dalam kesedihan kerana menanggung hajat tidak kesampaian.
  • Mengapa balut warnanya mata - mata bengkak, sembab kerana sedih.
  • Nuri, Punai, Beladu, Murai - sejenis burung.
  • Mimpi bersunting Cempaka Dadu - bermimpi berkahwin dengan Bunga Cempaka Dadu.

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan - Pantun Empat Kerat : Adat & Etika (Puisi Tradisional)

Pantun Empat Kerat - Adat dan Etika


Tema

Pantun ini bertemakan kemanusiaan dan kemasyarakatan yang berkaitan dengan adat dan etika hidup. Untuk mencapai keadaan kehidupan yang baik, manusia perlu mengikut aturan hidup yang ditetapkan dan diterima umum oleh ahli masyarakat sebagai sebahagian peraturan, adat, dan etika kehidupan

Persoalan dan Maksud

Persoalan pantun ini berkaitan dengan adat dan etika hidup manusia dalam masyarakat.

Rangkap 1
Persoalan mengenai pentingnya manusia menjaga nilai kesopanan dan gaya percakapan. Maksudnya, cara berbahasa seseorang mencerminkan nilai dirinya. Seseorang yang bercakap dengan sopan santun dianggap sebagai berbudi bahasa.

Rangkap 2
Persoalan mengenai pentingnya manusia menjaga perlakuan diri. Maksudnya, tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.

Rangkap 3
Persoalan mengenai masyarakat Melayu tradisional menyambut tetamu, iaitu dengan membentangkan tikar(baru) dan membuka pintu rumah. Maksudnya, bagi orang Melayu, mereka mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah dengan cara membentangkan tikar baru untuk alas duduk tetamu dan membukakan pintu rumah serta menjemput tetamu masuk. Lambang memuliakan tetamu.

Rangkap 4
Persoalan mengenai perasaan dan kehidupan orang merantau atau anak dagang yang akhirnya akan pulang juga ke tempat asal. Maksudnya, walau ke mana dan selama mana pun anak dagang merantau(untuk mencari rezeki, mendapatkan seseuatu), akhirnya akan kembali juga ke tempat asal. Lambang tidak melupakan asal usul.

Nilai dan Pengajaran

Nilai
  • Pentingnya manusia menjaga nilai kesopanan semasa berbahasa dan bercakap. Apabila bercakap dengan seseorang, sentiasalah bersopan santun dan berbudi bahasa supaya dipandang mulia.
  • Pentingnya seseorang menjaga perlakuan diri. Seseorang prelu menjaga tingkah lakunya kerana hal itu mencerminkan maruah dirinya.
  • Menghormati dan memuliakan tetamu. Sebagai orang Melayu yang mementingkan adat, tetamu yang datang ke rumah sentiasa dihormati dan dimuliakan oleh mereka.
  • Tidak melupai asal usul keturunan atau kampung halaman. Sebagai orang dagang yang selalu merantau mencari rezeki di tempat orang, walau ke mana dan selama mana pun dia pergi, sampai masa akan kembali juga ke tempat asalnya.

Pengajaran
  • Kita hendaklah sentiasa bercakap dengan sopan santun kerana komunikasi santun dianngap sebagai berbudi bahasa dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
  • Kita perlu sentiasa menjaga tingkah laku kerana tingkah laku mencerminkan maruah diri seseorang. Orang yang pandai menjaga tingkah lakunya dipandang tinggi dan bermaruah.
  • Sebagai orang Melayu yang beradat, kita seharusnya mengalu-alukan tetamu yang datang berkunjung ke rumah dengan menghormati dan memuliakan mereka setiap waktu.
  • Janganlah kita lupa asal usul keturunan dan kampung halaman. Sebagai anak dagang, walau ke mana atau selama mana pun kita merantau, jangan lupa kembali menjengah ke tempat asal

Maksud Rangkai Kata Terpilih
  1. Madat - candu(opium), segala jenis dadah yang mengkhayalkan.
  2. Deli, Makasar - tempat di Sulawesi Selatan, Indonesia.
  3. Putat - (Barringtonia conoidea) - pokok ulam, pucuk warna merah, rasanya lemak-pahit.
  4. Batu kecubung - batu permata berwarna ungu/kebiruan
  5. Daun sirih - tumbuhan melata, daunnya dikunyah sebagai pembasuh mulut.
  6. Gambir dan kapur - bahan yang dicampur untuk ramuan sirih, rasanya panas pedas.
  7. Semang - suku orang Asli yang tinggal di Semenanjung Malaysia, Pagan(Pahang dan Kelantan), tinggal di dusun, hutan.
  8. Adat semang pulang ke dusun, adat belut pulang ke lumpur(peribahasa) - biasanya perantau akan balik ke tempat asal/kampung halaman.